Monday, January 30, 2012

Hati2 Menyimpan Silver

Pegawai rugi RM50,000, 45 jongkong perak dicuri

PUTRAJAYA 25 Jan. - Seorang pegawai kerajaan kerugian lebih RM50,000 selepas rumahnya di Presint 8 di sini dipecah masuk penjenayah yang melarikan 45 jongkong perak miliknya yang disimpan dalam sebuah peti besi.
Mangsa berusia 34 tahun yang enggan dikenali memberitahu, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana bercuti ke Pulau Langkawi bermula 18 Januari lalu sehingga semalam.
Katanya, ketika pulang ke rumah tengah hari semalam, dia menyedari kediamannya itu telah dipecah masuk dan dalam keadaan berselerak.
"Saya kemudian memeriksa bilik dan mendapati peti besi yang menyimpan 45 jongkong perak itu telah hilang.
"Sebanyak 42 daripada jongkong itu masing-masing seberat 250 gram manakala tiga lagi seberat satu kilogram setiap satu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Mangsa memberitahu, dia membeli jongkong perak tersebut dari sebuah syarikat sejak Ogos lalu untuk pelaburan masa depan.
"Selain jongkong perak, saya turut membeli jongkong emas. Bagaimanapun jongkong emas tersebut disimpan di dalam bank.
"Jongkong perak murah dibeli namun nilainya tinggi jika dijual, harga pasaran bagi sekilogram perak ialah RM3,600," katanya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan umpil di pintu rumah mangsa.

Tuesday, August 23, 2011

Harga emas terus tinggi

Melonjak ke paras RM180 segram


HARGA emas terus melonjak ke paras tertingginya dalam sejarah iaitu pada AS$1,888.90 seaun atau kira-kira RM180 segram semalam berikutan kebimbangan berterusan kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemelesetan 
berganda, di samping krisis hutang di Eropah yang semakin meruncing. 

Keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini menggalakkan pelabur memilih untuk melabur dalam logam berharga itu kerana ia antara pelaburan lindung nilai yang terbaik ketika krisis ekonomi. Ketua Penyelidik Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata pihaknya menjangkakan harga emas bakal mencecah paras AS$1,900 seaun dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan dolar AS secara berterusan dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi sekali lagi di AS.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat harga emas mempunyai potensi untuk mencecah paras AS$2,000 seaun menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap logam berharga itu kerana pelabur lebih gemar melabur dalam emas ketika ketidaktentuan pasaran dunia. 

“Penurunan penarafan hutang AS menggalakkan pemegang bon AS menjual pegangan masing-masing dan membeli emas. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi baru di AS serta kelemahan dolar juga mendorong harga emas untuk melonjak ke paras tertinggi,” katanya kepada Berita Harian semalam. 

Kebanyakan penganalisis pasaran sebelum ini menjangkakan permintaan bagi emas akan terus meningkat pada masa depan terutama dari China dan India didorong peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu. 
Mereka melihat keadaan tidak menentu di AS dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing. 

“Prospek ekonomi AS yang malap berserta data ekonomi yang lemah ditambah krisis hutang Eropah yang semakin meruncing telah mendorong harga emas terus melonjak lebih daripada sukuan sejak Julai lalu,” jelas seorang penganalisis pasaran. 

“Kami tidak melihat sebarang faktor positif yang dapat menyokong ekonomi AS dalam tempoh beberapa bulan ini,” tambahnya. 

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.